MBMMBI SMKTTJ


MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS (MBMMBI)



1.0 DEFINISI
memartabatkan Bahasa Malaysia bermaksud meletakkan Bahasa Malaysia pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Malaysia juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.


2.0 TUJUAN MBMMBI
Tujuan utama memartabatkan Bahasa Malaysia adalah kerana Bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapat hasrat 1 Malaysia.

3.0 STRATEGI PERLAKSANAAN MBMMBI

Memartabatkan Bahasa Malaysia

Strategi memartabatkan Bahasa Malaysia meliputi perkara-perkara berikut :

  • Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Malaysia.
Penguasaan asas kemahiran berbahasa diperkukuh melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik menerusi modul P&P

  • Asas Berbahasa (back to basic)
Pengukuhan asas berbahasa dilakukan secara berstruktur dan sistematik. Asas berbahasa pradengar, prabunyi, prabaca dan pratulis diperkukuh melalui modul P&P yang menerapkan elemen menyeronokkan dalam seni bahasa. P&P tatabahasa adalah berasaskan sistem bahasa yang betul dan dilakukan secara bersepadu dalam konteks.

  •  Didik Hibur
Pendekatan P&P Bahasa Malaysia akan menyediakan suasana yang lebih menyeronokkan dan menarik melalui pelbagai kaedah. Kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, tatabahasa dan seni bahasa akan disulam dengan aktiviti penerokaan, pencarian maklumat, pelaporan dan penghasilan produk.

  • Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum
Penggunaan sistem bahasa yang betul dalam mata pelajaran lain akan menyokong P&P Bahasa Malaysia. Penggunaan dialek tempatan atau bahasa pasar mesti dipantau agar tidak menjejaskan standard dan mutu Bahasa Malaysia itu sendiri.

  • Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P
Penggunaan teknologi maklumat seperti perisian, e-mel, laman sembang dan laman web dapat menyediakan P&P yang bersifat interaktif serta menghiburkan. Satu portal akan diwujudkan untuk menghimpunkan bahan penulisan serta menyediakan forum bagi penggiat bahasa, para pendidik, sasterawan, pelajar serta penggunaan Bahasa Malaysia untuk berbincang, mengkaji dan mencari maklumat tentang Bahasa Malaysia.

  • Program Bacaan
Program bacaan seperti Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (KOMSAS), Buku Sastera Sekolah Rendah, Bacaan Awal Berstruktur dan NILAM diteruskan. Beberapa penambahbaikan akan dilakukan supaya pembacaan bahan sastera dapat ditingkatkan.

  • Guru Bahasa Malaysia Berkualiti
Guru yang mengajar mata pelajaran ini perlu beropsyen Bahasa Malaysia untuk memastikan kualiti dari segi ilmu pedagogi. Guru digalakkan menghadiri kursus peningkatan profesionalisme yang memberikan pendedahan tentang perkembangan terkini ilmu pedagogi dan juga perkembangan bahasa daripada pakar dari dalam dan luar negara.

  • Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif
Pemantauan daripada aspek kebersihan, keceriaan dan keselamatan di sekolah dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan saiz kelas, serta keadaan fizikal bilik darjah dan sekolah lebih kondusif untuk P&P.

  • Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu dan Komunikasi
Usaha menterjemah karya agung dari Eropah, Amerika dan Asia perlu diperhebatkan. Melalui cara ini perluasan ilmu melalui pembacaan dalam Bahasa Malaysia dapat dipergiat, seterusnya menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Penggunaan Bahasa Malaysia juga mestilah tekal dan mantap dalam semua urusan rasmi agar hasrat 1 Malaysia terlaksana melalui identiti negara bangsa.

  • Kolaborasi Antarabangsa Kursi Bahasa Malaysia di Universiti Luar Negara
Satu kolaborasi yang mantap antara Malaysia dengan negara lain akan diwujudkan dengan menubuhkan kursi Bahasa Malaysia di universiti luar negara.

  • Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi
Pelajar yang mengikuti pengajian di universiti hendaklah diwajibkan mendapat kepujian dalam Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia sebagai syarat masuk. 


 Memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris

Strategi memartabatkan Bahasa Inggeris meliputi perkara-perkara berikut :

  • Penambahan Masa P&P Bahasa Inggeris
Peruntukan waktu bagi SK Tahap 1 dan Tahap 2 itambah sebanyak 90 minit, manakala peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi SJKC/T Tahap 1 ditambah sebanyak 60 minit dan Tahap 2 ditambah sebanyak 30 minit. Peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi Tingkatan 1 hingga 6 ditambah sebanyak 80 minit dan untuk Malaysian University English Test (MUET) untuk Tingkatan 6 ditambah sebanyak 80 minit. Peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi Matrikulasi ditambah sebanyak 3 jam.

  • Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris Sekolah Rendah
Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris sekolah rendah menitikberatkan penguasaan literasi asas dan pengukuhan Bahasa Inggeris melalui pendekatan modular.

  • Asas berbahasa (Back to basic)
Kurikulum Bahasa Inggeris menitikberatkan asas Bahasa Inggeris dengan memberi penekanan kepada Phonics di samping menerapkan elemen pembelajaran yang menyeronokkan dalam modul Language Arts. Pengajaran tatabahasa dalam konteks diberi penekanan khusus dalam modul tatabahasa.

  • Didik Hibur
Modul Language Arts menekankan aspek didik hibur dan apresiasi bahasa. P&P bahasa yang menarik dan efektif dijalankan melalui aktiviti menyanyi, jazz chants, choral speaking, drama, muzik dan bahan bantu mengajar. Bahan bacaan estetik seperti Sastera Kontemporari Kanak-kanak, bahan Bacaan Awal Berstruktur dan Bacaan Ekstensif disediakan bagi mendedahkan murid kepada Bahasa Inggeris pelbagai genre.

  • Elemen Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
Kurikulum Bahasa Inggeris akan mengintegrasi elemen matematik dan sains melalui tema yang berkaitan dan akan menumpukan kepada istilah/kosa kata serta struktur ayat mata pelajaran berkenaan.

  • Penetapan Model Bahasa Inggeris
Model Standard British English digunakan sebagai panduan supaya setiap guru dapat merujuk kepada standard yang sama dari segi sebutan, penulisan dan tatabahasa.

  • Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris Sekolah Menengah
Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris akan menggunakan pendekatan modular. Setiap komponen kemahiran bahasa mempunyai modul P&P tersendiri dan P&P tatabahasa akan diberi fokus dalam modul Grammar.

  • Sumber P&P - Makmal Komputer
Makmal Komputer akan ditambahbaik dengan perkakasan dan perisian supaya boleh turut berfungsi sebagai makmal bahasa. Teknologi maklumat dimanfaatkan dalam P&P Bahasa Inggeris melalui penggunaan perisian yang sesuai.

  • Guru : Contact Time Berkualiti
Bagi mementingkan contact time yang berkualiti antara guru - murid, seorang guru Bahasa Inggeris gred DG41 akan disediakan bagi membantu guru yang mengajar kelas berenrolmen besar (contoh : kelas melebihi 35 murid) di Tahun 1 dan 2.

  • Perkongsian dan Jaringan Guru
Sinergi dalam kalangan guru amat penting untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang P&P yang terkini dan berkesan.

  •  Kepimpinan Sekolah
Guru besar dan Pengetua akan diberi lebih banyak pendedahan tentang peranan mereka sebagai pengurus kurikulum. Mereka perlu memahami matlamat dan kehendak kurikulum Bahasa Inggeris dan turut merancang program yang sesuai untuk mencapai objektif yang ditetapkan. Jawatan Penyelaras BI akan diwujudkan di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah. Program seperti English Camp atau English Village akan dijalankan secara berterusan.

No comments:

Post a Comment